Johari bercadang mohon anaknya dilantik sebagai pegawai khas
YANG Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul akan mempertimbangkan untuk memohon pelantikan anaknya, Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepadanya.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang pelantikan rasmi dibuat terhadap Mohammed Iqbal bagi jawatan tersebut.
Menurut bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, hingga kini Mohammed Iqbal yang sudah menjadi pegawainya sejak 14 tahun lalu hanya meneruskan kerja membantu beliau dengan elaun dibayar oleh dirinya sendiri.
“Dia meneruskan kerja yang dibuat selama ini yang bukan benda baharu, bukan lantikan rasmi, kerajaan tidak bayar (gaji) saya bayar sendiri…
“Di sini saya ada Setiausaha Sulit Kanan yang jawatannya sudah diisi, Setiausaha Akhbar dan tiga pegawai tugas-tugas khas di mana orangnya saya sudah kenal pasti, …sekarang sedang dalam proses permohonan.
“Prosesnya panjang melalui SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dan (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jadi ambil masa. Kalau saya rasa dia layak dan sesuai, saya akan buat permohonan, buat masa ini dia ditempatkan di sini sebab saya ada di sini,” katanya dipetik BH, hari ini.
Terdahulu, pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan mencetuskan polemik amalan nepotisme dalam kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Johari turut menerima tempias dakwaan itu apabila dikatakan melantik Mohammed Iqbal yang juga anak pertama daripada lapan beradik sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya.
Berdasarkan portal rasmi Parlimen, ia meletakkan nama Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas YPDR I.
Dalam pada itu, Johari menegaskan, tidak timbul amalan nepotisme kerana proses pelantikan rasmi sedang dijalankan mengambil kira Mohammed Iqbal yang mempunyai kelayakan dan pengalaman dalam menjalankan tugas terbabit.
Menurutnya, Mohammed Iqbal sudah berkhidmat sebagai pegawai khasnya sejak 2009 selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kewangan di Multimedia University (MMU) Melaka.
“Nepotisme ini kalau dia kurang, tidak berkelayakan atau dia hanya ada diploma tapi dia diletakkan dalam jawatan yang perlu mempunyai ijazah sarjana muda.
“Atau baharu keluar universiti semalam tapi letakkan dia di jawatan yang memerlukan pengalaman 10 tahun ataupun dia ini tak boleh pakai langsung di mana saya boleh ambil orang lain.
“Tapi Iqbal sudah kerja 14 tahun dengan saya dan dia hanya meneruskan kerjanya di mana nak latih orang baharu tidak mudah, …soalnya orang itu, kita percaya …baik saya teruskan dengan dia.
“Diapun tiada kes jenayah, berkelayakan kerana mempunyai ijazah sarjana muda,” katanya. -Malaysiapost