Kegigihan Amir berbaloi, mampu miliki Perodua Alza baharu

Kegigihan Amir berbaloi, mampu miliki Perodua Alza baharu

KALAU tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah yang dapat digambarkan kepada pelawak Amir Raja Lawak.

Kegigihan Amir mencari rezeki menerusi industri seni dan perniagaan air jagungnya mula membuahkan hasil apabila berjaya membeli kereta baharu.

Amir, 34, berkongsi kegembiraan itu di media sosial apabila berjaya memiliki kereta model Perodua Alza menerusi titik peluhnya selama ini.

“Alhamdulillah, rezeki pembukaan tahun 2023. Terima kasih yang support (menyokong) saya beli Air Jagung Amirreka HQ dan kongsi rezeki shooting (penggambaran) dengan saya.

“Ini adalah hasil dari anda yang ikhlas support dan percaya dengan saya.

“Didoakan semoga kita semua dilimpahkan rezeki, sihat selalu, disembuhkan sebarang penyakit dan terus sukses, aamiin ya mujib,” catatnya di Instagram.

Dalam hantaran itu, Amir turut memuat naik beberapa keping gambarnya bersama Perodua Alza yang baharu dibelinya.

Dalam pada itu, memetik Harian Metro, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi mengakui telah lama menyimpan wang untuk membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

“Saya menyimpan duit dari dulu, cuma baru sekarang ada rezeki boleh beli kereta baharu ini.

“Rezeki untuk bawa keluargalah sebab kereta ini ada banyak kerusi dan kemudian boleh buat berniaga juga sebab luas.

“Apapun kereta ini bukan bayar tunai, tapi dibayar bulanan juga. Saya pun tunggu lama macam orang lain dan tiada keistimewaan,” katanya yang membuat tempahan sejak Julai tahun lalu. – Malaysiapost

Komen