Kurang peruntukan jejas perancangan pembangunan rakyat – Rosol
AHLI Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu, Datuk Rosol Wahid tidak bersetuju langkah kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen.
Beliau berkata, langkah kerajaan itu dengan menjadikan kekangan ekonomi sebagai alasan, tidak boleh diterima kerana boleh menjejas perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat serta kawasan terbabit.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu mendakwa, alasan sebegitu sengaja digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjustifikasikan tindakan berkenaan.
“Ia sudah pasti akan menjejaskan pembangunan dan kemajuan kawasan.
“Masalah sekarang adalah beliau (Anwar) sembang kencang kerana apabila beliau jadi kerajaan, apa-apa saja alasan dibuat untuk justifikasikan tindakan beliau itu.
“Dulu cakap macam-macam, nak itulah inilah, termasuk nak agih sama rata. Mengenai pengurangan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pun kita dapat tahu daripada surat khabar (media),” katanya memetik laporan BH, hari ini.
Rosol berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri di Port Dickson, hari ini mengenai kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pada tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.
Menurut Anwar, peruntukan untuk Ahli Parlimen bakal dikurangkan lebih 65 peratus, daripada RM3.8 juga kepada RM1.3 juta pada tahun ini.
Perdana Menteri berkata, peruntukan pembangunan itu juga akan diberikan secara berperingkat dan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan jika ada keperluan mendesak. – Malaysiapost