Lelaki mengamuk di sekolah hanya latihan keselamatan

Lelaki mengamuk di sekolah hanya latihan keselamatan

POLIS mengesahkan video tular memaparkan lelaki mengamuk memegang kayu di perkarangan sekolah dua hari lepas adalah sebahagian latihan demonstrasi keselamatan sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi membuat kenyataan dan spekulasi tidak berasas berkenaan video berkenaan.

“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah di Sikamat dan pihak sekolah mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan yang dijalankan pada 1 Februari lepas di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah kerana anaknya dipukul oleh guru sehingga menimbulkan salah faham awam.

Rakaman video tersebut tular di Tiktok yang dimuat naik @Epinmusa merakamkan lelaki yang memakai topi dan berbaju ungu dilihat memaki hamun dua orang guru yang berada di tapak perhimpunan. – Malaysiapost

Komen