Lelaki OKU rentung dalam kebakaran

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran

Ben Ibrahim

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran kira-kira jam 9 malam tadi di Kampung Pelantar, dekat Bentong, Pahang.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pusat gerakan operasi (PGO) menerima panggilan jam 9.02 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian jam 9.16 malam.

“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak dan Bentong terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran itu.

“Seramai 17 pegawai dan anggota dari balai bomba berkenaan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 11 minit.

“Mayat mangsa ditemui pegawai dan anggota bomba dalam rumah itu selepas operasi memadam kebakaran selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail memaklumkan pihaknya menggunakan dua aliran hos bagi tugas mengawal dan memadamkan kebakaran kediaman itu.

Katanya, mayat mangsa berusia dalam lingkungan 60-an itu diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan lanjut. – Malaysiapost

Komen