Muhammad Faiz tawar diri tanding MKT Umno

Muhammad Faiz tawar diri tanding MKT Umno

EXCO Pemuda Umno, Muhammad Faiz Hashim menawarkan diri untuk untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti itu.

Beliau turut mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota.

Muhammad Faiz yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, berkata keputusan itu dibuat kerana menginsafi kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Umno sebagai parti tunjang perlu membawa satu pendekatan baharu dan segar dalam memastikan Umno kembali pulih dan mendapat sokongan kembali rakyat terutama orang Melayu.

“Jumlah pengundi muda yang kian bertambah dan minat serta kecenderungan berlandaskan zaman serba berteknologi memerlukan parti bergerak seiring dengan arus perubahan zaman dengan pendekatan cara baharu serta kreatif,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Justeru, beliau meminta sokongan daripada semua ahli melaksanakan agenda-agenda dalam usaha memberi nafas baharu kepada Umno.

“Pendekatan dan idea saya berteras teknologi serta suara mewakili anak muda dapat saya perjuangkan di dalam MKT Umno pada kali ini,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin turut menyatakan hasrat bertanding jawatan Ahli MKT Umno dalam pemilihan parti itu nanti. – Malaysiapost

Komen