Peruntukan pembangunan Ahli Parlimen dikurangkan – PM
AHLI Parlimen akan menerima peruntukan pembangunan yang kurang tahun ini berbanding sebelumnya berikutan langkah kerajaan mengawal kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan.
Jelasnya, ia termasuk untuk projek yang mendesak seperti pembaikan jalan yang rosak dan mendalamkan sungai.
“Peruntukan pembangunan akan diberi secara berperingkat ekoran kekangan ekonomi.
“Ada permohonan untuk melihat semula perkara ini, tetapi untuk projek yang mendesak, surau rosak, jalan atau beberapa isu seperti mengorek sungai dan hal yang penting, kita boleh pertimbangkan,” katanya kepada media, hari ini.
Perdana Menteri ditemui media ketika meluangkan masa untuk makan tengah hari di Warung Pak Salleh, Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, hari ini.
Beliau menegaskan, jumlah peruntukan itu akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan negara bertambah baik pada masa akan datang.
Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan (back-bencher) untuk tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Menjelaskan mengenainya, Anwar berkata, keputusan itu diambil berikutan beliau sangat tegas dalam isu tatakelola, rasuah dan salah guna kuasa. – Malaysiapost