PRN: Umno Selangor muktamadkan kerusi ingin ditandingi

PRN: Umno Selangor muktamadkan kerusi ingin ditandingi

UMNO Selangor telah memutuskan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah dimaklumkan mengenai bayangan jumlah kerusi yang ingin ditandingi Umno Selangor.

Bagaimanapun Megat Zulkarnain tidak mendedahkan jumlah kerusi yang diidamkan Umno Selangor bertanding pada PRN nanti. 

“Angka (jumlah kerusi) tidak perlu saya maklumkan sekarang, selepas ia dipersetujui, maka itulah keputusan yang kita patuhi.

“Saya juga sudah meminta Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman untuk memanggil mesyuarat Barisan Nasional (BN).

“Menerusi mesyuarat itu, kita akan maklumkan kerusi yang kita sudah perhalusi dan dipersetujui oleh Umno untuk dibawa serta diputuskan di peringkat BN pula,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor, Shah Alam, hari ini.

Jelasnya, selepas perbincangan bersama parti komponen BN selesai, ianya akan dimajukan dalam perbincangan bersama kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Menjelaskan mengenainya, Megat Zulkarnain berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU lalu, jumlah undi yang diterima masih tinggi terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Justeru, beliau berkata, aspek jumlah undi perlu ada dalam asas rundingan bagi pembahagian kerusi. -Malaysiapost

Foto kkredit Umno Selangor

Komen