Pulau Pinang cadang bubar DUN akhir Mei
KERAJAAN Pulau Pinang bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir bulan Mei ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Jun atau Julai tahun ini.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan perkara itu dalam masa terdekat sebelum memutuskan sebarang keputusan.
“Ada negeri mengadakan sidang pertama DUN pada Jun…Julai dalam kes Pulau Pinang, tarikh 2 Ogos (dikira) lengkap lima tahun. Tapi kalau dari segi politik dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tarikh 8 Mei sudah genap lima tahun.
“Bagi saya, kalau selepas tarikh 8 Mei atau ke atas, DUN Pulau Pinang boleh dibubarkan bila-bila masa. Mungkin kalau dibubarkan akhir Mei, PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai.
“Jadi betul lah apa yang dikatakan oleh menteri-menteri besar sebelum ini mungkin Jun atau Julai adalah paling sesuai untuk seragamkan semua negeri,” katanya ketika sidang media hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berhubung pembubaran DUN negeri itu pada 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menjangkakan pembubaran DUN Kedah selepas pertengahan Jun ini.
Kon Yeow berkata, beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Februari ini dan tidak menolak kemungkinan perkara berkaitan PRN juga akan dibincangkan.
“Sebenarnya, masih tiada mesyuarat secara rasmi (membincangkan PRN) walaupun dalam tempoh ini Menteri Besar dari negeri lain ada membuat kenyataan.
“Pertemuan dengan Menteri besar lain hanya akan berlaku pada 21 Februari, jadi boleh bincang. Minggu berkenaan ada dua mesyuarat, yang membolehkan kita berbincang..satu lagi ialah pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara,” katanya.
Sebelum ini, Kon Yeow, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpendapat, PRN di enam negeri wajar diadakan serentak bagi menjimatkan kos dan masa. – Malaysiapost