Shahrizat buat ‘comeback’?
BEKAS Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil diminta memimpin semula sayap parti itu selepas bersara daripada politik sejak lima tahun lalu.
Hasrat itu dikatakan dinyatakan pemimpin dan akar umbi Wanita Umno yang mahu kegemilangan sayap parti itu dikembalikan, yang ketika ini disifatkan ‘sudah lemah dan lesu’.
Menurut laporan FMT yang memetik sumber mengesahkan beberapa Ketua Wanita Umno bahagian berjumpa Shahrizat dan meminta beliau kembali menerajui Wanita Umno semula.
“Ini hasrat akar umbi, bukan hasrat Kak Jat (Shahrizat). Akar umbi mahukan sebuah kepimpinan yang padu.
“Kak Jat mendengar (hasrat akar umbi) yang mahukan beliau kembali dan dia positif. Ia ‘welcome back’ bukan ‘comeback’,” katanya.
Wanita Umno ketika ini dipimpin Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sejak 2018 selepas menewaskan Datuk Seri Azizah Dun pada pemilihan parti ketika itu.
Difahamkan, Noraini akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini.
Shahrizat yang memimpin Wanita Umno sejak 2008 mengumumkan tidak mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti 2018, kerana mahu ia diterajui individu mempunyai cara dan idea baharu.
Difahamkan, Shahrizat yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ini sedang menunaikan umrah.
Menurut sumber itu, persoalan sama ada Shahrizat benar-benar akan bertanding hanya akan terjawab pada 13 Februari ini iaitu ketika pendaftaran pencalonan.
Sementara itu, seorang ketua Wanita Umno bahagian yang enggan dinamakan berkata, tiada sumbangan untuk memartabatkan Wanita Umno sepanjang Noraini mengemudi sayap berkenaan.
Katanya, Wanita Umno bawah Noraini juga seolah-olah tidak bermaya berbanding ketika era kepimpinan Shahrizat, yang sangat lantang dan tegas memartabatkan hak wanita.
“Ketika Kak Jat pegang Wanita, kita nampak dia tegas, dia ‘fighter’, kali ini di bawah Noraini memang ‘slow’, Wanita jadi ‘lemau’ tak macam dulu. (Noraini) jadi menteri pun tak membantu apa-apa untuk Wanita,” katanya.
Menurutnya, Noraini juga jarang turun di peringkat akar umbi, menyebabkan ahli di bawah tidak merasai ‘kehadiran’ dan kepimpinannya.
Pemilihan Umno bermula 1 Februari membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri yang berlangsung hingga 26 Februari ini.
Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan. – Malaysiapost