Siasatan Bersatu: SPRM jejak baki wang RM260 juta

Siasatan Bersatu: SPRM jejak baki wang RM260 juta

BERSATU didakwa membelanjakan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di ­bawah Pakej Rangsa­ngan Ekonomi, ketika Pilihan Ra­­ya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, siasatan SPRM kini difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan itu.

Ia termasuk kemungkinan ia dibe­rikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.

Sumber berkata, sebahagian da­ripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN se­jak 2020 hingga tahun lalu.

“Siasatan SPRM kini menjurus kepada aliran wang berke­naan sepanjang tempoh tiga ta­hun itu. Adakah ia digunakan sebagai kegunaan parti atau individu tertentu.

“Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu mungkin akan dibekukan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. Setakat ini, akaun itu te­lah dibekukan sejak dua hingga tiga minggu lalu,” katanya.

Sehubungan isu terse­but, sum­ber berkata, beberapa ahli Bersatu sudah dirakam perca­kapan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

“Terbaharu esok (hari ini) SPRM mungkin akan memang­gil seorang lagi pemimpin kanan Bersatu untuk dirakam percakapan. Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan tindakan itu,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.

Kelmarin, SPRM membeku akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala bakinya RM260 juta masih dijejaki.

Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian yang beliau tidak akan bertolak ansur dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

Komen