Soalan lazim isu sekolah mula jam 8 pagi

Soalan lazim isu sekolah mula jam 8 pagi

PELBAGAI polemik timbul susulan cadangan waktu persekolahan bermula pada jam 8 pagi yang disarankan oleh pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Ada pihak yang bersetuju dan ramai juga ibu bapa yang membantah. Susulan itu Dr Anuar hari ini mengeluarkan soalan lazio berserta jawapan mengenai cadangan yang dikemukakan beliau seperti berikut:

SOALAN (S): “Jika anak mula sekolah jam 8 pagi, susahlah bagi ibubapa yang perlu masuk kerja jam 8 pagi”.
JAWAPAN (J): Ibu bapa boleh kekal hantar anak-anak ke sekolah seperti waktu sekarang. Sekolah kekal dibuka seperti biasa. Anjakan masa 30 minit memberikan kelapangan pada keluarga yang memerlukan lebih masa di awal pagi.

S: “Bagaimana dengan waktu kehadiran guru ke sekolah?”
J: Guru kekal hadir ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi, mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh KPM. Pintu pagar sekolah kekal dibuka seperti waktu sekarang. Tiada yang berubah.

S: “Jika anak saya masuk awal sekolah jam 7 pagi, apa akan mereka lakukan ketika menunggu sehingga jam 8 pagi?”
J: Amalan di negara maju, waktu awal sekolah sebelum pembelajaran bermula adalah waktu ‘bertenang’ di mana murid-murid boleh melakukan banyak aktiviti seperti membuat persiapan pembelajaran, ulangkaji, membaca, berinteraksi dan bermain dengan rakan-rakan atau bersarapan”.

S: Bagaimana dengan sekolah dua sesi? Adakah sekolah petang akan tamat lebih lewat?
J: Data menunjukkan 2/3 sekolah di Malaysia adalah sekolah satu sesi. Manakala hanya 1/3 sahaja sekolah masih kelas dua sesi. Amalan sekolah bermula jam 8 pagi boleh dimulakan di sekolah satu sesi dahulu. Manakala sekolah dua sesi kekal sebagaimana waktu sekarang. Selain itu, jika kita berhasrat menjadikan sekolah dua sesi bermula jam 8 pagi, usaha untuk mengurangkan silibus atau bilangan mata pelajaran juga boleh dilakukan oleh KPM seperti yang dicadangkan oleh ramai pihak. Misalnya menggabungkan pendidikan Islam dengan KAFA. Tidak ada keperluan menambah masa sesi petang sehingga sesi sekolah petang tamat lebih lewat daripada sekarang.

S: Apakah faedah sekolah bermula jam 8 pagi?
J: Faedah pada ibubapa, mereka mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak di awal pagi. Apabila waktu sekolah bermula jam 8, anak-anak dapat bangun awal pagi, mandi dan membuat persiapan diri, solat subuh berjemaah bersama ibubapa dan bersarapan pagi bersama keluarga sebelum ke sekolah. Amalan sekarang, apabila sekolah bermula jam 7.30 pagi, ada ibubapa yang terpaksa solat subuh dalam perjalanan kerana terpaksa keluar rumah sebelum masuk waktu solat subuh. Ada ibubapa dan anak-anak yang sehingga terlepas solat subuh kerana berada di dalam perjalanan. Faedah pada kanak-kanak pula, keselamatan diri adalah keutamaan. Jika sekolah bermula jam 8, mereka tidak perlu berjalan bersendirian di dalam gelap awal pagi seperti sekarang. Amalan sekarang, ada anak-anak yang berjalan kaki ke sekolah atau menunggu bas sekolah seawal jam 6.00 pagi. Selain itu, bagi anak-anak yang tiba lebih awal ke sekolah, mereka dapat membuat persiapan awal, mengulangkaji dan bermain dengan rakan-rakan. Mereka lebih bersedia sebelum pembelajaran bermula.

S: Adakah cadangan mula sekolah 8 pagi merumitkan keadaan?
J: Tidak sama sekali. Ibubapa kekal meneruskan rutin harian mereka seperti biasa. Malah cadangan ini memberikan lebih masa dan ruang untuk ibubapa menguruskan persiapan anak-anak ke sekolah di awal pagi dengan lebih tenang. Guru-guru juga mempunyai lebih masa di awal pagi serta dapat membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.

S: Adakah contoh sekolah di negara ini yang sudah amalkan sistem sekolah mula jam 8 pagi?
J: Ada. Hampir semua sekolah antarabangsa di negara ini mengamalkan sistem sekolah bermula jam 8 pagi. Begitu juga dengan sebahagian besar sekolah swasta dan sekolah persendirian. Malah ada sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kerajaan Negeri yang telah lama mengamalkan sistem sekolah bermula jam 8 pagi. – Malaysiapost

Komen