SPRM digesa siasat sumber dana PKR, DAP sepanjang PRU15

SPRM digesa siasat sumber dana PKR, DAP sepanjang PRU15

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat sumber dana PKR dan DAP yang dilihat berbelanja besar sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, berdasarkan pengamatannya jumlah pembiayaan kempen PRU15 gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu mencecah ratusan juta.

“Jika diperhatikan kedua-dua parti ini berbelanja besar. Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.

“Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika berkempen. Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti.

“Dari mana sumber ini diperoleh?,”katanya dalam Facebooknya.

Marzuki mengulas siasatan SPRM berhubung dana Bersatu yang mengakibatkan akaun bank parti itu dibekukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM membekukan akaun bank Bersatu sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Media melaporkan, sumber SPRM mendakwa, pembekuan itu bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan lebih lebih RM300 juta daripada kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Dalam pada itu, Marzuki turut mempersoalkan sama ada PKR dan DAP yang menerajui Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak langsung menerima sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke yang berurusan dengan negeri itu.

“Elok siasat juga dana pilihan raya Barisan Nasional (BN). Ingat, menteri BN juga ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri selepas PN juga dari BN. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Barulah adil,” katanya.

Marzuki berkata, adalah tidak adil sekiranya SPRM hanya menyiasat Bersatu sedangkan PKR dan DAP juga berbelanja besar sepanjang tempoh berkempen PRU15.

“Saya percaya Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak,”katanya. – Malaysiapost

Komen