‘Tahniah Zahid dapat pasport diplomatik’ – Ketua Pemuda PAS
KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan ‘tahniah’ kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana berjaya memperoleh pasport diplomatik.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga dalam nada sindiran menyifatkan dengan adanya pasport berkenaan akan memudahkan urusan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Tahniah Datuk Seri. Dengan adanya pasport diplomatik, urusan pentadbiran kerajaan madani PH-BN akan lebih lancar. Rakyat pun gembira,” tulisnya ringkas di Facebook.
Terdahulu media melaporkan, Ahmad Zahid gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ketika memutuskan demikian, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang.
Menurutnya, mahkamah tidak memberi kelebihan atau keistimewaan mengikut status golongan masyarakat sebaliknya meletakkan undang-undang di tahap teratas.
Namun, mahkamah membenarkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membuat permohonan pelepasan (sementara) untuk membuat permohonan pasport diplomatik. – Malaysiapost