Umno pertahan usul PAU tiada pelanggaran perlembagaan

Umno pertahan usul PAU tiada pelanggaran perlembagaan

UMNO sekali lagi menegaskan tiada pelanggaran perlembagaannya atau Peraturan Mesyuarat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berlangsung bulan lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat berlangsung dengan teratur dan hampir 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Menurutnya, usul berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana sudah beberapa kali dilakukan dalam sejarah 77 tahun Umno.

“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan.

“Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur Umno jawatan itu tidak dipertanding,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada Selasa lalu, Umno memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad bersama tiga individu lain menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad di Putrajaya pada jam 11.30 pagi dengan membawa dokumen yang disediakan peguam.

Beliau berkata, pertemuan itu dibuat susulan tindakan dua ahli Umno yang menghantar aduan kepada RoS, agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan ketika PAU 2022.

Semalam, Ahmad menyerahkan dokumen tambahan kepada RoS untuk diteliti lanjut dan berharap RoS dapat memberi jawapan atau keputusan berhubung isu berkenaan secepat mungkin.

Media sebelum ini melaporkan aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertanding itu dikemuka oleh ahli Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang mahu RoS menentukan sekiranya usul tambahan yang diluluskan melanggar peraturan parti. – Malaysiapost

Komen