Wan Nazari letak jawatan Ketua Pejuang Terengganu

Wan Nazari letak jawatan Ketua Pejuang Terengganu

BEKAS calon Parlimen Besut, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Terengganu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pertengahan bulan lalu, lapor Berita Harian.

“Peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang negeri tiada kaitan dengan kegagalan parti diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya meletakkan jawatan disebabkan menghadapi masalah kesihatan selain memberi peluang kepada pemimpin lain menerajui parti di peringkat negeri,” katanya hari ini.

Wan Nazari turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Mukhriz atas kepercayaan diberikan mengetuai Pejuang Terengganu.

Selain Wan Nazari, bekas calon Pejuang Parlimen Setiu, Wan Adnan Wan Ali turut mengesahkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pejuan Setiu, berkuat kuasa hari ini.

Pada PRU15 lalu, Wan Adnan yang juga bekas Ketua Logistik Pejuang negeri hanya memperoleh 203 undi.

Sementara itu, Setiausaha Pejuang Terengganu, Mohd Sahabudin Yusuf ketika dihubungi mengesahkan peletakan jawatan daripada Wan Nazari dan Wan Adnan.

Bagaimanapun, katanya, pimpinan tertinggi Pejuang belum memutuskan sama ada menerima atau sebaliknya peletakan jawatan Wan Nazari.

“Kita dimaklumkan ibu pejabat parti peletakan jawatan Wan Nazari sebagai Ketua Pejuang negeri ditangguhkan sementara,” katanya. – Malaysiapost

Komen