Armada cabar PKR, DAP dedah butiran belanja PRU15

Armada cabar PKR, DAP dedah butiran belanja PRU15

SAYAP pemuda Bersatu, Armada mencabar PKR dan DAP mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan kempen kedua-dua parti itu sekiranya mereka benar-benar berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua parti itu tidak kurang hebatnya berbelanja mewah termasuk penggunaan helikopter ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen PRU15?

“Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim terdesak untuk membunuh imej bersih Perikatan Nasional (PN) sejak mereka berjaya menguasai tampuk pemerintahan negara.

“Kita dapat lihat dengan amat jelas sekali bahawa kerajaan ini terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih & Stabil’ yang sudah sinonim dengan PN langsung menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

“Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini,” kataya.

Malah, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan segala tekanan yang diberikan kepada PN ketika ini adalah usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengalih perhatian rakyat.

“Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan.

“Ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

“Armada Bersatu Malaysia percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya,” katanya.

Justeru, Armada menyeru agar semua penyokong PN khususnya yang berada di dalam pentadbiran kerajaan agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. – Malaysiapost

Komen