Azalina sambut baik pembentukan ‘Kabinet’ bayangan PN
INISIATIF Perikatan Nasional (PN) membentuk ‘Kabinet’ bayangan disifatkan sebagai permulaan progresif ke arah reformasi blok pembangkang.
Menerusi hantaran di Twitter, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentukan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen itu membolehkan Ahli Parlimen pihak pembangkang memainkan peranan mereka mengikut portfolio masing-masing.
“Kabinet bayangan adalah satu inisiatif dan permulaan yang progresif ke arah reformasi blok pembangkang untuk memainkan peranan mereka dalam mekanisme semak dan imbang,” katanya.
Kelmarin, PN mengumumkan barisan anggota Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen yang ditubuhkan bagi menyelaras pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Kabinet itu dibarisi Ahli Parlimen PN yang memiliki kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang mengikut bidang masing-masing.
Menjelaskan mengenainya, Azalina yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Isntitusi) berkata, pihaknya sedia dan terbuka menerima sebarang pandangan daripada jawatankuasa berkenaan.
“Saya sentiasa mengalu-alukan teguran dan idea konstruktif daripada blok pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menteri dalam kerajaan mahu melihat prestasi Ahli Parlimen pembangkang yang dilantik kabinet bayangan itu.
Jelasnya, semua itu bergantung kepada komitmen diberikan setiap anggota terutama dalam hal berkaitan dasar kerajaan.
“Tak ada masalah dengan penubuhan jawatankuasa ini. Ia bukan perkara baharu pun, ketika Umno (berada di blok pembangkang) ketika negara ditadbir kerajaan 22 bulan (PH), sudah ada jawatankuasa seperti ini.
“Ketika itu kami ditugaskan mengikut portfolio ditentukan,” katanya dipetik BH. -Malaysiapost