Fenomena mainan ‘lato-lato’, bahaya atau seronok?
PERMAINAN lato-lato semakin menambat hati kanak-kanak yang rata-ratanya dijual dengan harga sekitar RM10 ke bawah bagi setiap satu mainan tersebut.
Namun begitu, segelintir pihak berpandangan permainan itu tidak sesuai untuk dimainkan kanak-kanak kecil, kerana bimbang lantunan bola mainan itu boleh mendatangkan kecederaan.
Mainan lato-lato juga telah diharamkan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, England dan Mesir.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, beliau juga bersetuju sekiranya mainan itu ‘diharamkan’ penjualannya di pasaran kerana ia bahaya dan memberi kesan tidak baik kepada kanak-kanak.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang lebih tertarik bermain permainan itu sedangkan mainan itu tidak sesuai terutama untuk kanak-kanak.
“Permainan itu tiada signifikan dan manfaat pada kanak-kanak sebaliknya ia berbahaya tambahan ia ada tali panjang. Banyak fokus lain untuk mereka lakukan seperti belajar membaca.
“Permainan itu sudah dibawa sampai ke sekolah dan kita bimbang boleh mencederakan mereka jadi lebih baik kita mencegah dari awal sebelum ada kes berlaku biarpun setakat ini belum ada laporan sesiapa yang tercedera kerana mainan baru itu,” katanya memetik Harian Metro.
Bagi peniaga, Sam Ariffin, 52, berkata, baginya lato-lato tidak bahaya jika bermain dengan cara yang betul, berhati-hati dan tidak gopoh, sekali gus peranan ibu bapa serta peniaga juga penting supaya permainan itu dimainkan dengan selamat.
“Cara permainan untuk kanak-kanak perlu lebih ditekankan dengan memendekkan tali dan kunci atau simpulkan bahagian atas supaya dapat elak tali itu terlilit di leher atau bola terpelanting hingga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.
“Sebagai peniaga saya akan beritahu cara bermain dengan betul dan tip seperti itu supaya mainan itu lebih selamat, selain itu ibu bapa juga perlu pantau cara anak bermain,” katanya.
Katanya, dia baru menjual mainan yang popular di negara jiran ketika ini sejak beberapa minggu lalu dan mengakui mulanya mendapat sambutan, tetapi sekarang agak hambar mungkin kerana ibu bapa bimbang keselamatan anak mereka.
“Saya jual lato-lato biasa pada harga RM10 dan RM15 untuk yang berlampu, sehari boleh jual dalam 50 set permainan itu.
“Sekiranya kerajaan mengambil pendekatan sama untuk mengharamkan permainan ini saya akui sebagai peniaga saya terpaksa akur, tetapi setakat ini belum dengar lagi perkara ke arah itu,” katanya lagi memetik Harian Metro. – Malaysiapost