Hairi tawar diri tanding Naib Ketua Pemuda Umno
KETUA Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia bagi penggal 2023/2026.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin itu, beliau membuat keputusan tersebut setelah bermusyawarah dengan 26 Ketua Pemuda Umno bahagian di Johor bagi memohon restu serta sokongan.
“Saya juga mohon sokongan sahabat-sahabat Pemuda Umno seluruh cawangan serta bahagian dalam Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hasratmya itu turut disampaikan kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebooknya pula memaklumkan beliau menerima kunjungan daripada Mohd Hairi yang mana pertemuan itu berlangsung selama tiga jam.
Menurut Asyraf Wajdi, Mohd Hairi antara anak didiknya dalam Pemuda Umno yang kini diberi kepercayaan menggalas amanah selaku Exco kerajaan Negeri Johor.
“Tidak dinafikan kewibawaan dan ketrampilan beliau memimpin Pemuda Umno Johor banyak memudahkan kerja-kerja saya di peringkat nasional.
“Malah beliau antara Ketua Pemuda negeri yang banyak membantu saya dalam agenda kaderisasi dan tarbiyyah barisan pelapis muda kepimpinan Umno dan BN sehingga hari ini melahirkan tujuh orang YB dan lima daripadanya diberi kepercayaan sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor, Alhamdulillah,” katanya. – Malaysiapost