Hasni hadir mesyuarat khas Umno Johor
DATUK Seri Hasni Mohammad yang digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor bulan lepas, hadir Mesyuarat Khas parti itu hari ini.
Perkara itu disahkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi hantaran Facebook miliknya yang berkata, Hasni hadir pada mesyuarat khas Umno Negeri Johor yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini.
“Baru selesai mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Negeri Johor yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Khaled Nordin.
“Beliau baru dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan. Turut hadir ialah Datuk Seri Hasni Mohammad mantan Pengerusi Perhubungan dan Datuk Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor. Umno Johor kekal bersatu meneruskan “Umno Perjuangan”,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, mesyuarat khas Umno Johor hari ini membincangkan perancangan masa depan sekali gus memperkukuhkan kekuatan Umno negeri itu.
“Mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Negeri Johor yang pertama tahun 2023.
“Pelbagai perkara yang dibincangkan termasuklah perancangan dan hala tuju bagi memulih, merawat dan memantapkan semula kekuatan Umno Johor.
“Turut menyentuh tentang pemilihan Umno yang akan berlaku di semua peringkat dan Umno Johor akan pastikan ianya berlangsung dalam keadaan lancar dan tenteram,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno menyeru semua pemimpin Umno Johor agar bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti keramat orang Melayu ini. -Malaysiapost