Hasni tawar diri tanding Naib Presiden Umno

Hasni tawar diri tanding Naib Presiden Umno

BEKAS Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti itu tahun ini. 

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, beliau menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan kerana mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti.

“Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini kerana itu sahaja jawatan (tertinggi) yang dibenarkan ditandingi.

“Saya percaya ramai tokoh lain, termasuk penyandang, Mohamed Khaled Nordin, akan pertahan dan bertanding jawatan itu.

“Atas semangat untuk terus menyumbang bakti kepada parti di semua peringkat, maka saya tawarkan diri untuk bertanding,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini. 

Pada 27 Januari lalu, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor yang disandangnya sejak 2018 dan digantikan dengan Mohamed Khaled.

Ditanya ura-ura hampir 10 pemimpin dijangka mempertahan atau bertanding jawatan naib presiden, Hasni berkata, itu membuktikan parti masih menjadi wadah utama perjuangan politik yang diyakini.

“Saya melihat ramai pemimpin yang tampil untuk tawar diri itu adalah petanda positif untuk parti dan beri gambaran pimpinan Umno tidak tinggalkan perjuangan parti.

“Walau apa jua dikata terhadap Umno, saya masih yakin parti mampu bangkit dan jadi wadah perjuangan pada agama, masyarakat dan negara,” katanya. -Malaysiapost

Komen