Ismail Sabri sedia bangkitkan isu pengeluaran KWSP bersasar di Parlimen
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima penyerahan memorandum daripada Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin berkenaan tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Menurutnya, beliau bersedia membangkitkan isu pengeluaran KWSP secara bersasar sewaktu perbahasan di Parliman yang akan berlangsung bulan ini.
“Saya menerima kunjungan dari Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin di pejabat petang semalam.
“Mereka menyerahkan memorandum pengeluaran KWSP bagi menuntut pengeluaran secara bersasar untuk menangani kos sara hidup yang semakin meninggi.
“Terima kasih Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin atas pertemuan ini dan diharap terus menjadi mata dan telinga rakyat serta sentiasa peka dengan keperluan rakyat di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan perlu mempertimbang nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan KWSP.
Beliau berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini. – Malaysiapost