Kerajaan akan lancar Kafe Rahmah untuk pelajar universiti
SELEPAS sambutan baik Menu Rahmah, kerajaan dijangka akan melancarkan Kafe Rahmah kepada pelajar universiti dalam tempoh sebulan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Kafe Rahmah dapat memberi manfaat dengan menawarkan makanan tengah hari percuma kepada pelajar universiti.
“Tunggu dalam masa sebulan lagi, kita akan buat lagi Kafe Rahmah, dengan satu kali makan tengah hari percuma.
“InsyaAllah sarapan pagi dan makan malam kita akan beri diskaun sehingga 50 peratus.
“Tunggu pula kehadiran Kafe Rahmah untuk pelajar-pelajar universiti kita tidak lama lagi,” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini.
Mengulas Menu Rahmah yang dilancarkan awal minggu ini, Salahuddin berkata, pelajar universiti boleh mendapatkan Menu Rahmah di pasar raya Mydin di seluruh negara atau restoran mamak yang terpilih.
Awal minggu ini, kerajaan menerusi KPDN melancarkan Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual makanan.
Menu Rahmah yang ditawarkan pada harga maksimum RM5, khususnya buat golongan B40. – Malaysiapost