Khairy jumpa Wan Fayhsal

Khairy jumpa Wan Fayhsal

BEKAS Menteri Kesihatan yang dipecat Umno, Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan dengan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Perkara itu dikongsi Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran bergambar di Facebooknya malam tadi.

Bagaimanapun tidak dinyatakan lokasi pertemuan itu serta apa yang dibincangkan kedua-dua ahli politik tersebut.

“Thank you bro Khairy Jamaluddin for having me,” tulis Wan Ahmad Fayhsal.

Susulan gambar dimuatnaik Wan Ahmad Fayhsal, netizen membuat pelbagai andaian termasuk tertanya-tanya sama ada Khairy akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Tidak kurang juga netizen meminta bekas Ketua Pemuda Umno itu memikirkan semasak-masaknya sebelum menyertai mana-mana parti baharu.

Baru-baru ini Khairy memaklumkan akan mempertimbang parti yang dapat memenuhi wawasannya untuk negara.

Antara lain, beliau berkata, parti yang menawarkan inklusif, tatakelola pentadbiran yang baik, progresif serta kukuh, selesa dan sesuai dengan kehendaknya.

Sebelum itu, PN menyatakan kesudian untuk menerima Khairy menyertai parti itu, termasuk parti komponennya membabitkan Bersatu dan Gerakan.

Beberapa hari lalu pula, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya belum melamar Khairy secara rasmi untuk menyertai parti tersebut.

Kata Ahmad Faizal, adalah lebih baik sekiranya Khairy bersama PN memandangkan beliau antara ahli politik yang mempunyai peluang cerah untuk memimpin negara pada masa hadapan. – Malaysiapost

Komen