KPM hargai kelantangan suara, pandangan NUTP – Fadhlina

KPM hargai kelantangan suara, pandangan NUTP – Fadhlina

KELANTANGAN suara dan pandangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang cukup vokal menyuarakan pandangan adalah suara  semak dan imbang dalam membangun pendidikan negara.

Malah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata aspirasi menjaga kesatuan yang memayungi kebajikan para pendidik menjadi komitmen besar kerajaan melalui KPM.

“Sejarah hubungan NUTP dan KPM cukup panjang khususnya dalam sinergi melindungi kepentingan serta kebajikan para guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) 2023 di Kuala Lumpur, semalam.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Presiden NUTP, Aminuddin Awang di atas keprihatinan kesatuan itu menyumbang lebih RM350,000 kepada waris keluarga mangsa tragedi Batang Kali.

Dalam tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, enam guru antara yang terkorban.

Enam guru yang maut dalam kejadian pada 16 Disember itu adalah Fong Choy Kee, 43; Lai Lee Koon, 44; Lim Wen Xin, 36; Hong Mei Jing, 38; Lam Sook Man, 37 dan Liu Pei Si, 44.

Murid yang terkorban adalah adik-beradik Eng Huai Yi, 12, dan Eng Shao Qi, 11, serta Tong Kai En, 9, manakala pengusaha kantin yang terkorban adalah Gary Eng Choon Wen, 43, dan pekerjanya, Nurul Azwani Kamaruzaman, 31. – Malaysiapost

Komen