Mat Sabu cadang kerajaan bangunkan sistem data raya
SATU sistem yang memiliki keupayaan menyimpan data terkini bahan makanan berasas pertanian perlu dibangunkan bagi melicinkan modus operandi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, melalui sistem tersebut pihaknya akan dapat membuat unjuran dan langkah awal bagi mengelak berlakunya sebarang kemungkinan.
“Untuk jangka masa panjang, kementerian perlu mewujudkan sistem data raya untuk kita mendapatkan maklumat secara ‘real time’ tentang,
“Jenis sayuran yang sedang ditanam. Jumlah pengeluaran. Lokasi pengeluaran. Jumlah import dan eksport. Jumlah permintaan. Kos pengeluaran
“Melalui sistem ini kementerian akan dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya di Facebook, hari ini.
Mohamad yakin sistem data tersebut dapat membantu kementerianya mengatasi masalah kekurangan bahan makanan dengan lebih efisien pada masa depan.
“Saya bukanlah mahir dalam bidang IT tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.
“Misalnya jika kita dah boleh unjur tiga bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini.
“Saya yakin ramai anak muda di luar sana mampu menghasilkan sistem ini.
“Saya rasa kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua,” katanya.-Malaysiapost