PN gesa jangan ganggu peruntukan pembangunan Ahli Parlimen

PN gesa jangan ganggu peruntukan pembangunan Ahli Parlimen

PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen tidak sepatutnya diganggu sekali gus merencatkan manfaat dan faedah yang sepatutnya diterima rakyat.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN memandang berat kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli-Ahli Parlimen akan dikurangkan pada tahun ini sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Meskipun Kerajaan Persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, PN turut menggesa Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa peruntukan pembangunan ini akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen seluruh negara merentasi parti sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

Setiausaha Agung PAS itu turut memetik tawaran Pakatan Harapan (PH) ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jelasnya, jaminan ini amatlah penting diberikan kerana ia juga selaras dengan Tawaran Harapan yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa PRU15, iaitu,

“Peruntukan Kawasan Sama Rata Harapan bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di Kawasan itu,” katanya.

Takiyuddin berkata, sebelum ini peruntukan tersebut disalurkan terus kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“PN mengharapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak Pembangkang yang telah menerima mandat yang sah dari rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya dan memenuhi lunas-lunas undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

Komen