‘Wanita Umno rindu, dambakan kepimpinan Shahrizat’

‘Wanita Umno rindu, dambakan kepimpinan Shahrizat’

WANITA Umno Kota Melaka menyokong penuh keputusan bekas ketua pergerakan itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding semula jawatan tersebut pada pemilihan parti akan datang.

Ketuanya, Datuk Haryaty Hamdzah berkata beliau bersama 147 ketua wanita bahagian-bahagian seluruh negara telah berjumpa Shahrizat secara bersemuka.

Katanya, sebahagian besar mereka telah membuat pertimbangan dan kewarasan untuk meminta Shahrizat  kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno.

“Secara pribadi, saya tidak pernah berada di bawah kepimpinan Shahrizat semasa beliau memimpin Wanita Umno.

“Namun reputasi dan legasi semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan dihasilkan. Beliau sentiasa menjadi idola kebanyakan wanita di luar sana.

“Selaku pemimpin wanita awal 40-an, saya perlu dapatkan sentuhan kepimpinan Shahrizat bagi membimbing dan menyedia barisan pelapis berkaliber untuk parti, seterusnya menjuarai isu-isu dan membawa suara wanita,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Shahrizat diminta memimpin semula sayap parti itu selepas bersara daripada politik sejak lima tahun lalu.

Hasrat itu dikatakan dinyatakan pemimpin dan akar umbi Wanita Umno yang mahu kegemilangan sayap parti itu dikembalikan, yang ketika ini disifatkan ‘lemah dan lesu’.

Menurut laporan FMT yang memetik sumber mengesahkan beberapa Ketua Wanita Umno bahagian berjumpa Shahrizat dan meminta beliau kembali menerajui Wanita Umno.

Wanita Umno ketika ini dipimpin Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sejak 2018 selepas menewaskan Datuk Seri Azizah Dun pada pemilihan parti ketika itu.

Difahamkan, Noraini akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Shahrizat yang memimpin Wanita Umno sejak 2008 mengumumkan tidak mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti 2018, kerana mahu ia diterajui individu mempunyai cara dan idea baharu.

Mengulas lanjut, Haryaty berkata banyak yang boleh dipelajari melalui pengalaman dan ilmu yang ada pada Shahrizat.

Katanya, usul Wanita Umno yang dibawa Perhimpunan Agung Wanita Umno baru-baru ini, mencadangkan agar jawatan tertinggi sayap itu tidak dipertandingkan sama seperti jawatan Presiden dan Timbalan Presiden telah ditolak perwakilan.

Tambahnya, usul itu kemudian dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk diluluskan, namun ia tidak berhasil.

“Kegagalan usul ini membuktikan akar umbi mahu kepimpinan baru. Biarpun terdapat cubaan mengekalkan kepimpinan sedia ada tanpa pertandingan, namun ia tidak berjaya.

“Melalui proses demokrasi nanti akan menyaksikan sama ada Shahrizat sebenarnya dirindui dan didambakan untuk memimpin wanita.

“Beliau seperti mutiara yang telah lama tersimpan dan akan kembali menyinar bagi membawa kegemilangan Wanita semula,” katanya lagi.

Pemilihan Umno bermula 1 Februari membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri yang berlangsung hingga 26 Februari ini.

Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli MKT akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan. – Malaysiapost

Komen