Zahidi tak jadi sertai PKR, pilih masuk Amanah
DATUK Zahidi Zainul Abidin tidak jadi menyertai PKR sebaliknya beliau berhasrat menjadi ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Keputusan berkenaan dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu selepas mengadakan perbincangan bersama ahli akar umbi bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, beliau mendapat permintaan daripada kebanyakan anggota akar umbi untuk menyertai Amanah dan secara peribadi akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan tertinggi parti itu selepas ini.
“Apa yang pasti saya akan memilih PH namun parti yang akan disertai itu lebih kepada Amanah kerana mereka dapat berkompromi untuk menerima saya,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.
Zahidi berkata, beliau menjangkakan lebih 2,000 ahli Umno Padang Besar akan bersama-sama menyertai PH sekiranya beliau diterima menyertai Amanah.
“Untuk hari ini sahaja sekitar 150 orang menyatakan minat bersama saya menyertai PH. Saya bukan mahukan jawatan, sudah 25 tahun saya menjadi ketua bahagian dan apa yang penting adalah untuk kita membantu pemimpin sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zahidi berhasrat menyertai PKR bagi membantu memperkukuhkan kekuatan parti itu di Perlis.
Bagaimanapun, Zahidi mendapat tentangan daripada ahli PKR, antaranya Naib Pengerusi PKR Perlis, Asrul Nizan Abd Jalil yang menggesa agar penyertaan bekas Ketua Umno Bahagian Padang Besar itu dipandang serius oleh kepimpinan tertinggi bagi menggelakkan parti menerima pemimpin dalam kategori ‘tong sampah’.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Zahidi berkata, maklum balas Asrul itu adalah sangat tidak wajar memandangkan penyertaan beliau bersama PKR di Padang Besar dapat diterima oleh kepimpinan kawasan berkenaan.
“Saya harap komen sebegitu tiada lagi selepas ini memandangkan kerajaan hari ini juga adalah kerajaan Perpaduan melibatkan PH dan Umno,” katanya. -Malaysiapost