4 nelayan hanyut 6 hari dalam tong ikan
EMPAT nelayan terpaksa bergantung nyawa dengan hanya menggunakan tong ikan dan hanyut di laut selama enam hari selepas bot dinaiki karam akibat cuaca buruk sebelum diselamatkan berhampiran muara Sungai Miri, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie Paing, berkata nelayan berusia 25 hingga 44 tahun yang hanyut dalam tong ikan itu ditemui kapal Ultra Jaya pada jarak lebih kurang 75 batu nautika dari muara Sungai Miri pada jam 10 pagi.
Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri yang melaksanakan bantuan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dimaklumkan mengenai penemuan itu.
“Empat mangsa berkenaan kemudiannya dipindahkan ke Kapal Maritim (KM) Tabah untuk dibawa ke Jeti Marina Bay, Miri bagi tindakan lanjut.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan pemeriksaan awal setibanya mangsa dengan bantuan Bot Kilat di Jeti Marina Bay, Miri pada jam 6 petang semalam.
“Mangsa kelihatan dalam keadaan yang lemah akibat dehidrasi seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil keterangan mangsa, mereka telah keluar untuk memancing sejak 29 Januari lalu dan pada awal pagi 30 Januari, bot pancing yang dinaiki telah karam akibat dipukul ombak.
“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.
“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, Maritim Malaysia menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri ditalian 085-418204.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Malaysiapost