Anak jatuh skuter, Siti Nurhaliza batal persembahan
ANAK sulung penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah Khalid, 4, selamat menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta, hari ini.
Menerusi hantaran Insta Story, Siti atau mesra disapa Tokti berkata, Aafiyah terpaksa menjalani pembedahan kecil kerana kemalangan ketika terjatuh dari ‘scooter’.
“Malang tak berbau, anak ibu jatuh ‘scooter’ kena masuk OT (bilik pembedahan). Doakan semoga Allah SWT permudahkan,” tulisnya.
Pelantun lagu 7 Nasihat itu juga memuat naik video memaparkan dia memujuk Aafiyah sebelum menjalani pembedahan.
“Alhamdulillah, proses di OT lancar. Terima kasih doktor pakar di hospital. Insya-Allah, Aafiyah segera sembuh ya. Amin ya rabb.
“Video ini ayah ambilkan sebelum Aafiyah masuk OT. Sedang pujuk Aafiyah,” katanya.
Sementara itu, Siti turut memohon maaf kepada semua pihak yang berurusan dengannya kerana terpaksa membatalkan persembahan yang dijadualkan pada saat akhir.
“Minta maaf pada ‘client’ (pelanggan) saya terpaksa batalkan persembahan pada saat akhir kerana kemalangan yang menimpa anak saya. Doakan semoga semuanya dipermudahkan,” tulisnya.
Pada masa sama, Siti juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan Aafiyah itu.
“Menjunjung kasih kepada Tuanku Permaisuri yang bertanya khabar dan mendoakan kesembuhan Aafiyah.
“Terima kasih juga buat yang mendoakan kesihatan buat Aafiyah. Insya-Allah, Aafiyah cepat sembuh dari kemalangan kecil ini. Amin Ya Rabb,” katanya. – Malaysiapost