Baling botol arak, 2 suspek direman
POLIS memberkas tujuh individu yang dipercayai terbabit dalam kes membaling botol arak dari sebuah premis kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang tular sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya, berkata tangkapan dibuat antara jam 3.45 petang semalam hingga 2.15 pagi tadi membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat tangkapan awal bermula petang semalam hingga jam 9.15 malam tadi.
“Seramai lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan dalam kes membaling botol ke arah jalan raya berkenaan.
“Pada jam antara 1.30 pagi hingga 2.15 pagi tadi, tangkapan susulan dilakukan ke atas dua lagi individu membabitkan lelaki berusia 20 tahun dan wanita berusia 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil tangkapan tujuh individu warga tempatan itu polis turut merampas satu telefon bimbit dan sepasang pakaian yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Seramai dua individu yang dianggap itu direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan, Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Selain itu, kesemua tangkapan turut dilakukan ujian awal saringan air kencing dengan seorang daripadanya didapati positif Ketamin dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Noor Dellhan menasihatkan mana-mana pihak yang terkesan akibat perbuatan membaling botol berkenaan supaya tampil membuat laporan polis.
“Polis juga menasihati orang ramai agar tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.
Terdahulu tukar video di media sosial memaparkan individu membaling botol minuman keras daripada sebuah premis ke arah jalan raya.
Video berdurasi seminit 43 saat itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok pada Khamis lalu dan siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku di sebuah premis kediaman di Jalan Cendana Kampung Baru. – Malaysiapost