Bersama menghormati nilai antara agama
JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghormati perayaan setiap agama di negara ini kerana ia adalah asas kerukunan hidup yang harmoni di antara penganut agama.
Menterinya Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agama Islam juga menyeru supaya umat Islam sentiasa menjaga kerukunan dalam masyarakat.
Beliau berkata, justeru bersempena sambutan perayaan Thaipusam hari ini, Kerajaan Perpaduan mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada masyarakat penganut bukan Islam yang merayakannya.
Bagaimanapun Mohd Na’im berkata, memandangkan Thaipusam adalah acara peribadatan agama yang khusus kepada para penganutnya, maka umat Islam dinasihatkan untuk tidak terlibat sama.
Menurutnya, umat Islam dinasihatkan untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian di dalam upacara peribadatan keagamaan bukan Islam.
“Nasihat ini adalah berpandukan ketetapan panduan yang telah dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan Prof. Madya Datuk Dr Luqman Abdullah, bertarikh 4 Februari 2023.
“Perpaduan dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia terus direalisasikan menerusi sikap dan amalan saling hormat menghormati terhadap tatacara kepercayaan setiap ajaran agama masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan semalam mengenai umat Islam dilarang daripada terlibat menyertai apa-apa ritual perayaan agama bukan Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip akidah.
Mohd Na’im menegaskan keharmonian dalam bernegara adalah kunci perpaduan, keamanan jua kemakmuran negara. – Malaysiapost