Budaya nepotisme wajar dielak 

Budaya nepotisme wajar dielak 

BUDAYA nepotisme dengan melantik saudara terdekat menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan wajar dielakkan pada masa depan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata beliau sedar dengan kritikan pelbagai berkenaan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri serta anak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan.

“Saya ingat beberapa perkara ini untuk masa akan datang kepada mana-mana kerajaan perlu elakkan. Cuma dalam keadaan Nurul Izzah dan Iqbal, lantikan itu sudah dibuat.

“Dia tidak membabitkan wang rakyat, yang kita harapkan sekarang mereka perlulah buktikan mereka bawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pandan Indah malam tadi.

Rafizi berkata, semua pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.

“Di peringkat PKR, kita harap kita ‘move on’ dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya.

Sebelum ini, timbul isu berhubung dakwaan amalan nepotisme dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

Johari turut menerima tempias dakwaan itu apabila dikatakan melantik Mohammed Iqbal yang juga anak pertama daripada lapan beradik sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya.

Melalui portal rasmi Parlimen, ia meletakkan nama Mohammed Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Speaker Dewan Rakyat 1. – Malaysiapost

Komen