Elak aktiviti agama lain tak jejas perpaduan antara rakyat – Mufti
ISLAM mengajar penganutnya agar saling berhubung sesama manusia atas nama kemanusiaan dengan cara baik, mesra dan bertolong-tolongan, namun membataskan hubungan itu dalam perkara membabitkan kepercayaan dan amalan keagamaan.
Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah, berkata batas berkenaan dijadikan sebagai sempadan yang damai, bersemangat toleransi dalam menerima kebebasan mengamal kepercayaan serta amalan agama masing-masing.
Beliau berkata, dengan prinsip itu umat Islam adalah dilarang daripada terbabit menyertai apa-apa ritual perayaan agama bukan Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam.
“Akidah adalah sesuatu pegangan dan prinsip yang tidak boleh ditoleransikan dalam apa-apa bentuk yang membawa makna meredhai sesuatu kepercayaan lain selain dari akidah tauhid.
“Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud menghalang berbuat baik dan saling menghormati kepada sesama manusia tanpa mengira pegangan dan kepercayaan yang menjadi perkara asas dalam ajaran Islam.
“Apa-apa urusan harian dan interaksi antara manusia sama ada sesama Islam atau dengan bukan Islam adalah terbina atas asas berbuat baik antara satu sama lain yang diwajibkan oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, umat Islam juga digesa untuk berterus terang dengan kepercayaan dan amalan Islam dalam hubungan dengan bukan Islam, bertoleransi dengan kepercayaan dan amalan penganut agama-agama lain.
“Mengelak dari terlibat dengan aktiviti yang berkaitan dengan kepercayaan dan ritual agama lain tidak sesekali berimplikasi kurangnya hormat kepada kebebasan beragama penganut agama lain atau memberi kesan kepada tahap kesepaduan antara rakyat.
“Pejabat ini menyeru kepada umat Islam agar mematuhi prinsip dengan memahami sempadan dalam interaksi antara Islam dan bukan Islam serta kewajipan berbuat baik sesama manusia.
“Dalam membina perpaduan dan masyarakat madani dalam negara ini, adalah perlu prinsip ini difahami dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kerajaan Johor bakal mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat.
Fatwa itu bagi membolehkan umat Islam di Johor mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata fatwa berkenaan sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurutnya, ia akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), minggu hadapan, bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.
Beliau berkata, garis panduan itu difatwakan selepas melihat kebiasaan dilakukan umat Islam apabila tibanya sesuatu perayaan bukan Islam.
Mohd Fared berkata, ia bertujuan bagi memberi pendidikan serta kesedaran supaya sesuatu larangan itu tidak terus diamalkan secara berleluasa. – Malaysiapost