Kami tak simpan wang beratus juta, jam mewah dalam rumah – Faizal Azumu
TIADA keperluan untuk Bersatu menjelaskan secara terperinci kepada umum, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang meminta Bersatu menjelaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana mampu mengumpul wang yang banyak dalam masa singkat.
“Duit parti, kami simpan dalam akaun, ada keluar masuk, kami tulis elok-elok, tak simpan beratus-ratus juta wang tunai, jam mewah dalam rumah,” sindir Ahmad Faizal seperti dilapor Berita Harian.
Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata tentunya SPRM akan menjalankan siasatan mengenai akaun Bersatu dan bagaimana ia dibelanjakan.
“Tentunya pihak berwajib, iaitu SPRM akan siasat. Kalau kita ingat dulu, bila diselongkar, ambil barangan, antaranya berkotak-kotak jam dan beratus juta wang tunai dalam rumah di Pavilion, kemudian mengaku kata itu duit parti.
“Itu baru seorang (pemimpin politik), belum lagi jika timbalannya juga simpan duit entah di mana. Kami, duit parti kami simpan dalam akaun, ada (rekod) keluar masuk,” katanya.
Ahmad Faizal juga mengakui sebelum ini parti itu ada mendapat sumbangan besar daripada entiti korporat dan perniagaan yang semuanya direkodkan apabila melalui akaun bank.
“Sebelum ini kita dapat sumbangan besar daripada orang ramai, pihak korporat, orang berniaga yang bagi sumbangan kepada parti. Bezanya kita masukkan dalam akaun, ditunjukkan dengan jelas, tapi ini dikaitkan pula perkara tidak baik,” katanya.
Rabu lalu SPRM mengesahkan membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.
Pembekuan dibuat sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya kepada umum.
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – Malaysiapost