Kartunis legenda majalah Gila-Gila, Fatah Ngah meninggal dunia

Kartunis legenda majalah Gila-Gila, Fatah Ngah meninggal dunia

PELUKIS dan kartunis legenda, Fatah Ngah yang menghidapi sakit saraf sejak lebih 40 tahun lalu meninggal dunia, awal pagi tadi.

Berita duka tersebut dikongsi adik kandungnya, Manan Ngah menerusi hantaran Facebook.

Menurut Manan, abangnya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 1.45 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Fatah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Syed Yahya Dungun, pada jam 11 pagi.

“Kepada yang mengenali maafkanlah segala kesalahan beliau terhadap anda sekiranya ada,” tulisnya.

Nama kartunis Fatah Ngah yang berasal dari Dungun, Terengganu cukup sinonim dengan karyanya A. Mahmud dan Lagak A. Mahmud.

Fatah adalah generasi pertama majalah Gila-Gila dan beliau antara yang melukis pada zaman kenaikan kartun 1970-an.

Pada Oktober 2011, pameran dan jualan amal untuk Fatah Ngah telah diadakan di Lana Wau, Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur bertujuan mengumpul dana membantu kos rawatan dan perubatan Fatah yang mengidap penyakit saraf. – Malaysiapost

Komen