MIC macam tak wujud dalam BN – Saravanan
TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mendakwa partinya seperti ‘tidak wujud’ sebagai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).
Saravanan berkata, MIC belum lagi dipanggil berunding dalam perbincangan mengenai rancangan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), yang mesti dilaksanakan di enam negeri.
“Bukan sahaja tiada mesyuarat, malah seolah-olah macam kami (MIC) tidak wujud.
“Saya berharap kita dapat mengadakan mesyuarat (dalam kalangan komponen BN) segera kerana PRN dijangka berlaku dalam tempoh empat ke enam bulan lagi,” katanya memetik Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Batu Caves bagi sambutan Thaipusam, hari ini.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, walaupun sokongan kepada MIC rendah, parti berkenaan masih berupaya memainkan peranan signifikan memastikan kemenangan BN pada PRN itu nanti.
Bulan lalu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dilaporkan berkata sebarang keputusan berhubung kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN tahun ini mesti dicapai secara konsensus dalam kalangan komponen BN.
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dikuasai PH, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah diperintah PAS perlu melaksanakan PRN selepas Jun. – Malaysiapost