PAS ucap selamat menyambut Thaipusam kepada masyarakat Hindu

PAS ucap selamat menyambut Thaipusam kepada masyarakat Hindu

PAS menzahirkan ucapan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu dan berharap perayaan itu disambut dalam suasana harmoni, lancar dan selamat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, paling utama adalah tiada pihak terlibat dengan insiden yang membahayakan ketika sambutan berkenaan.

“Sempena sambutan tahun ini, PAS juga berharap ia akan berjalan dalam suasana harmoni, lancar dan, paling utama, selamat kepada semua pihak tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini dan boleh membahayakan, baik dalam kalangan pesertanya mahu pun khalayak awam.

“Semoga semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada kebaikan bersama semua rakyat dan negara kita. Selamat bercuti dan menyambut Hari Thaipusam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, sebagai perayaan kedua terpenting bagi penganut Hindu selepas Deepavali, Thaipusam mempunyai ciri yang unik dan mampu menarik perhatian pelancong asing.

“Sebagai perayaan kedua terpenting bagi penganut agama Hindu di negara ini selepas Deepavali, perayaan Thaipusam adalah salah satu daripada ciri unik kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat kita, sekali gus mempunyai tarikan tersendiri, terutamanya kepada pelancong asing,” katanya.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggai ‘Thai’ bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia. – Malaysiapost

Komen