Perlu pemilihan, perubahan kepimpinan – Shahrir

Perlu pemilihan, perubahan kepimpinan – Shahrir

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad yang memtuskan tidak mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru dalam pemilihan parti kali ini, berpendapat perubahan generasi kepimpinan parti adalah perlu.

Menurutnya, proses pemilihan dan perubahan generasi kepimpinan perlu bagi memberikan nafas baharu dalam perjuangan parti.

“Keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan harus diberikan nafas baru melalui proses pemilihan parti dan perubahan generasi kepimpinan.

“Kepentingan diri harus diketepikan bagi mewajarkan keikhlasan dan kejujuran perjuangan untuk ramai dalam tempoh untuk parti bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang sudah memimpin Umno Bahagian Johor Bahru sejak empat dekad lalu, memaklumkan Mesyuarat Khas Perhubungan Umno Johor, semalam adalah mesyuaratnya yang terakhir sebagai ketua bahagian.

“Hari ini (semalam), saya menghadiri mesyuarat khas Perhubungan Umno Johor.

“Ia menjadi mesyuarat terakhir bagi saya berikutan keputusan saya tidak lagi bertanding untuk jawatan Ketua Bahagian Johor Bahru pada Pemilihan Umno 2023,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan semalam, memaklumkan Shahrir tidak akan mempertahankan jawatannya.

Mohamed Khaled berkata, Umno Johor menghormati keputusan Shahrir yang mengumumkan mahu melepaskan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.

Untuk rekod, Shahrir, 74, yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru selama enam penggal, menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an lagi. – Malaysiapost

Komen