Suami berpoligami, ibu 7 anak dihalau gagal bayar sewa rumah

Suami berpoligami, ibu 7 anak dihalau gagal bayar sewa rumah

SEORANG ibu bersama tujuh anak buntu mengenang nasib yang menimpa mereka selepas dihalau dari rumah, kerana gagal melunaskan sewa bulanan.

Pemilik rumah mengarahkan mereka keluar kerana bayaran sewa tertunggak sejak Oktober tahun lalu sehingga mengheret beliau dengan masalah kewangan akibat perlu menanggung bayaran bulanan pinjaman perumahan berkenaan.

Ibu malang yang juga mengalami masalah mental itu, bagaimanapun mendapat pembelaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Skuad Saidina Umar (SSU) yang tampil menghulurkan bantuan.

Dalam satu kenyataan, LZS memaklumkan wanita berkenaan juga bergantung dengan ubat-ubatan psikiatri bagi mengawal emosinya daripada menjadi agresif dan tidak terkawal.

“Wanita berkenaan juga terpaksa menanggung seramai tujuh orang anaknya yang berusia empat hingga berusia 14 tahun.

Pemilik rumah mengarahkan mereka keluar kerana bayaran sewa tertunggak sejak Oktober tahun lalu

“Manakala, suaminya pula dikhabarkan jarang pulang ke rumah kerana sudah bernikah lain serta menguruskan keluarga baru,” menurut LZS dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Dalam perkongsian itu, LZS memaklumkan kejadian yang berlaku menjadikan wanita itu semakin tertekan sehinggakan anak sulungnya berusia 14 tahun turut menerima rawatan psikiatri kerana kerap mengamuk serta dikatakan mendengar ‘bisikan’.

“Anak sulungnya itu kini juga perlu mengambil ubat penenang setiap hari bagi mengawal emosinya.

“Susulan itu LZS mengambil tindakan segera menyerahkan sumbangan tunai serta bantuan lain akan disusuli selepas ini.

“Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jiran sekitar juga sangat membantu, sentiasa memastikan keperluan keluarga ini mencukupi dan tidak terputus,” katanya.

LZS berkata, hasil perbincangan bersama pemilik rumah berkenaan berjaya dicapai dan bersetuju untuk memberikan sewa selanjutnya untuk wanita itu sekeluarga.

“Tunggakan sewa rumah dan bayaran sewa bulanan selepas ini akan diuruskan oleh LZS.

“Kes berkenaan juga akan dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan menerusi khidmat kaunseling serta akta perlindungan untuk keluarga berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, LZS berkata, poligami itu ada kaedah dan prosedurnya.

“Berlaku adil dan jangan menzalimi serta melepaskan tanggungjawab utama. Semuanya akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.

“Teruskan berzakat di Lembaga Zakat Selangor, ‘sedikit bagi anda, segalanya buat mereka’,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Lembaga Zakat Selangor

Komen