Tak benar 147 bahagian Wanita sokong Shahrizat – Exco
DAKWAAN kononnya 147 ketua Wanita Umno menyokong Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno tidak benar sama sekali.
Perkara itu ditegaskan Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Exco Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari.
“Saya terbaca kenyataan akhbar oleh Ketua Wanita Kota Melaka bahawa terdapat 147 Wanita bahagian menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.
“Saya selaku orang lama dalam Exco Wanita telah membuat penyiasatan dan kajian terhadap kenyataan tersebut yang ternyata tidak benar sama sekali.
“Rata-rata mereka menyatakan kegusaran mengenai keharmonian, kedamaian dan setia kawan dalam parti terutama dalam keadaan Umno tengah nazak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Rosni berkata, Wanita Umno mahu kestabilan dalam membina kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada asas perjuangan parti itu.
Ini kerana katanya, rakyat sudah muak melihat perebutan kuasa yang tidak sudah dalam kalangan pemimpin.
“Tidakkah kita semua terfikir apa yang difikirkan oleh rakyat di luar sana.
“Saya berada dalam empat kepimpinan Wanita Umno, setiap daripada mereka mempunyai corak kepimpinan tersendiri dan berbeza tetapi apa yang pasti Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diangkat menjadi Ketua Wanita Umno ketika parti di sangat lemah , tiada kuasa dan tiada wang apatah lagi harta.
“Tidak sama kepimpinan terdahulu yang semuanya ada. Jadi tidak adil kepada Noraini jika ada sesiapa nak samakan beliau dengan kepimpinan terdahulu,” katanya.
Menurutnya, semua kepimpinan Wanita ada meninggalkan reputasi dan legasi masing masing terutama jika bertahun-tahun menjadi ketua.
“Di kala ini semua ahli Umno harus istiqomah, muhasabah diri dan merenung jauh, ke mana kita hendak bawa Wanita Umno?
“Adakah kita hendak bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang?,” soalnya.
Semalam Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata beliau bersama 147 ketua wanita bahagian-bahagian seluruh negara telah berjumpa Shahrizat secara bersemuka.
Katanya, sebahagian besar mereka telah membuat pertimbangan dan kewarasan untuk meminta Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno.
Sebelum ini media melaporkan Shahrizat diminta memimpin semula sayap parti itu selepas bersara daripada politik sejak lima tahun lalu.
Hasrat itu dikatakan dinyatakan pemimpin dan akar umbi Wanita Umno yang mahu kegemilangan sayap parti itu dikembalikan, yang ketika ini disifatkan ‘lemah dan lesu’.
Wanita Umno ketika ini dipimpin Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, sejak 2018 selepas menewaskan Datuk Seri Azizah Dun pada pemilihan parti ketika itu.
Difahamkan, Noraini akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini. – Malaysiapost