‘Tak mungkin PM lantik Nurul Izzah jika tiada kemampuan teramat hebat’
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menyindir pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya dengan meminta semua pihak berlapang dada.
Timbalan Presiden Bersatu itu secara sinis meminta semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada Nurul Izzah membuktikan kemampuannya, lapor Astro Awani.
“Semua perkara yang rakyat hendak akan selesai.
“Kerana tidak mungkin seorang yang dilantik menjadi Perdana Menteri melantik anaknya sendiri (sebagai penasihat) kalau anaknya itu tidak ada kemampuan yang teramat hebat.
“Kita kena bagi beliau peluang menasihati Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, (maka) akan selesai semua masalah kita,” katanya.
Baru-baru ini Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengesahkan beliau dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Beliau memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Susulan itu Anwar selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika mempertahan pelantikan anak sulungnya itu berkata Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun. – Malaysiapost