Tun M sedih, terkilan ditolak pengundi Langkawi
MENGAKUI masih terkilan dan sedih atas kekalahannya di Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tertanya-tanya di mana silapnya sehingga ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Bekas Perdana Menteri itu yang turut kehilangan wang deposit berkata, beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan yang memudaratkan penduduk.
“Saya ditolak jatuh merudum dan hilang 14,000 undi. Saya pun tidak tahu apa kesalahan yang telah buat (sehingga ditolak),” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sebuah acara di Langkawi malam tadi.
Dr Mahathir berkata, penolakan pengundi Langkawi terhadapnya sedikit mengecewakan susulan komitmennya membangunkan pulau itu, seperti menerusi pemberian status bebas cukai pada 1987, seolah-olah tidak dihargai.
“Bukan merajuk, tapi kecewa sedikit (atas kekalahan teruk pada PRU15) kerana saya sudah buat macam-macam (pembangunan) di Langkawi,” ujarnya lagi.
Pada PRU15 lalu, Dr Mahathir kehilangan kerusi Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi.
Calon Perikatan Nasional, DatukMohd Suhaimi Abdullah memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,518 undi.
Sementara itu, mengulas isu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu, beliau berkata, perkara itu tiada kena mengena dengan dirinya.
“Dulu saya yang tubuh Bersatu, tapi ketika itu, tidak curi duit dari mana-mana, kemudian parti berpecah dua, Bersatu sekarang bawah Muhyiddin Yassin.
“Saya tiada kena mengena kerana tidak lagi berada dalam Bersatu. Itu masalah mereka,” katanya. – Malaysiapost