Warga KPM dukacita pemergian pasangan guru SMAP Kajang

Warga KPM dukacita pemergian pasangan guru SMAP Kajang

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menzahirkan dukacita dengan pemergian suami isteri guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang maut dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48, terlibat dalam kemalangan berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh.

“Salam takziah kepada seluruh waris keluarga dan juga warga SMAPK. Semoga tabah dan sabar dengan ujian besar ini.

“Kami mendoakan agar roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya di media sosial, hari ini.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri guru SMAP Kajang, maut selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat nahas di Kilometer 274 LPT 2.

Tiga anak pasangan itu yang turut berada dalam kenderaan tersebut ketika kejadian dilaporkan mengalami cedera ringan.

Semasa kejadian kesemua mangsa yang menetap di Kajang dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Gelugor, Kerteh.

Sebelum itu mereka sempat menghantar salah seorang anak lelaki mereka ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang. – Malaysiapost

Komen