1,186 mangsa banjir di Kuantan

1,186 mangsa banjir di Kuantan

JUMLAH keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan kini seramai 1,569 penduduk membabitkan 414 keluarga di tiga negeri yang terjejas setakat jam 4 petang tadi.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), negeri Pahang yang kembali dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam, mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.

Banjir dilaporkan melanda daerah Kuantan menjejaskan seramai 1,186 mangsa daripada 309 keluarga yang kini ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka hari ini.

Menurut laporan itu,  dua lagi negeri yang masih dilanda banjir adalah Johor dan Kelantan, namun keadaan dilaporkan menurun serta tidak berubah.

Johor merekodkan seramai 355 mangsa daripada 99 keluarga membabitkan penurunan di daerah Batu Pahat dengan 329 mangsa daripada 90 keluarga, manakala situasi di Segamat tidak berubah dengan 26 mangsa daripada sembilan keluarga.

Banjir di Kelantan juga tidak berubah membabitkan 28 mangsa daripada enam keluarga yang dipindahkan di satu PPS di daerah Pasir Mas.

Turut dilaporkan penutupan PPS di Beaufort, Sabah susulan banjir di kawasan berkenaan telah pulih hari ini.

Secara keseluruhan sebanyak 13 PPS dibuka membabitkan tujuh di Pahang, lima di Johor dan satu di Kelantan. – Malaysiapost

Komen