Air percuma sebulan untuk penduduk Selangor
PENDUDUK Selangor berpeluang memohon skim air percuma 20 meter padu selama sebulan menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE) bermula hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Twitter berkongsi video langkah pendaftaran dengan melayari www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan.
“Mohon peruntukan air percuma sebanyak 20m3 di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) hari ini. Terbuka untuk semua penduduk di negeri Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim berkenaan dengan kos lebih RM30 juta ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.
Beliau berkata, setakat Oktober 2022, lebih 300,000 akaun pengguna menikmati skim berkenaan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk negeri itu sehingga 31 Disember 2024.
Katanya, had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat insentif tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.
Syarat kelayakan meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja. – Malaysiapost