Dakwaan Noraini paksa Wanita Umno Negeri sokong tidak benar – Rosni
SETIAUSAHA Wanita Umno, Datuk Rosni Sohor menafikan dakwaan bahawa Ketua Wanita Negeri dipaksa memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Tegasnya, kebanyakan Wanita Umno Negeri menyatakan sokongan terhadap Noraini dan Datuk Norliza Rahim untuk terus menerajui sayap parti itu dengan kerelaan sendiri.
“Tiada mesyuarat Ketua Wanita Negeri diadakan seperti yang dikhabarkan. Jauh sekali paksaan pada Ketua Wanita Negeri untuk memberi sokongan pada Noraini. Angka yang disebutkan juga adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai tohmahan berlegar di media sosial berhubung isu sokongan terhadap Ketua Wanita Umno, termasuk ada yang meminta Noraini berundur.
Katanya, malah ada mendakwa Noraini telah mengadakan mesyuarat bagi memaksa Ketua Wanita Negeri menyatakan sokongan menerusi Wanita Bahagian.
“Saya ingin tegaskan, saya selaku Setiausaha Wanita Umno Malaysia bahawa tohmahan semua ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berharap Wanita Umno lebih fokus kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN), serta tidak membiarkan pemilihan parti menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan.
“Wanita perlu tumpukan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan gerak kerja JR di enam negeri tersebut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Noraini telah memaksa ketua-ketua Wanita Umno negeri untuk menyokongnya untuk mengetuai sayap parti itu pada penggal akan datang.
Sebelum ini, Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, mendakwa seramai 147 Ketua Wanita Umno Bahagian menggesa Tan Sri Shahrizat Abd Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno pada pemilihan, Mac ini. – Malaysiapost