Gangguan seksual: Perbicaraan Ebit Lew bersambung esok
KES perbicaraan gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew akan bersambung di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah bermula esok sehingga 10 Februari ini.
Prosiding berkenaan adalah bagi meneruskan perbicaraan yang ditangguhkan sebelum ini selepas berlangsung selama tiga hari pada 20 hingga 22 Disember lalu.
Pihak pendakwaan setakat ini sudah menampilkan lima saksi, termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam prosiding sebelum ini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, Ebit pada 18 Februari tahun lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.
Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan. – Malaysiapost